top of page

Pengenalan
Pengurusan penasihatan murid merupakan satu objektif yang perlu dimiliki oleh setiap sekolah bagi melahirkan murid yang sentiasa terpelihara dari segi tingkah laku mereka. Dengan ini kecemerlangan murid dapat dijamin dari segi tingkah laku dan akademiknya. Penasihatan murid ini sangat penting ditubuhkan disekolah kerana ianya banyak membantu dalam melahirkan sekolah yang cemerlang dan terbilang. Penasihatan murid ini juga merupakan satu jalan yang membantu dan membentuk para pelajar dalam menguruskan emosi dan masalah yang mereka hadapi di sekolah.   
 

Isi penting

Guru merupakan individu  yang sangat penting dalam membentuk seseorang pelajar yang berjaya di sekolah. Guru membimbing pelajar untuk menghadapi cabaran dan halangan hidup pada masa hadapan. Tugas bagi memberi bimbingan tidak terletak kepada guru bimbingan dan kaunseling sahaja, namun setiap guru di sekolah turut memainkan peranan sebagai guru pembimbing kepada murid di sekolah. Tanpa mereka sukar untuk membentuk pelajar yang cemerlang dan berpotensi. Antara pendekatan atau kaedah yang boleh dilakukan bagi mengatasi kemelut yang dihadapi oleh pelajar adalah melalui kaedah bimbingan, penasihatan dan mentoring.  


Bimbingan merupakan proses membantu individu membuat keputusan yang akan memberi kesan kepada kehidupan mereka. Ia juga merupakan satu proses untuk membantu pelajar menentukan dan membuat sesuatu keputusan dalam hidup mereka. Sebagai contoh, apabila seorang pelajar menghadapi kesukaran dalam menentukan aliran yang harus dipillih untuk melanjutkan pelajaran yang lebih tinggi dan guru membuat keputusan berdasarkan minat dan kebaikan yang diperolehi pelajar tersebut. Oleh itu, guru perlulah memainkan peranan yang penting bagi meyakinkan pelajar dengan keputusan yang diambil. 

 

Penasihatan pula merupakan proses menasihati individu atau kumpulan. Ia adalah satu proses yang berfokuskan kepada permasalahan yang dihadapi dalam diri individu yang bermasalah. Ia juga merupakan bentuk arahan atau suruhan daripada seorang yang dianggap lebih berautoriti kepada orang lain. Orang yang berautoriti ini merupakan individu yang lebih berpengalaman dan berpengetahuan. Keadah ini adalah kaedah yang paling cepat untuk mengatasi permasalahan jika nasihat itu meninggalkan kesan.

 

Mentoring merupakan proses memberi bimbingan, sokongan dan bantuan secara professional dalam menghadapi masalah. Proses mentoring melibatkan mentor dan mentee. Mentor adalah

orang yang mempunyai pengalaman dalam memberi pertolongan kepada mereka yang memerlukannya. Jelasnya, perkataan mentor membawa maksud seorang rakan yang boleh dipercayai, kaunselor atau guru. Tugasnya adalah memberi tunjuk ajar kepada mentee dalam sebarang perkara. Manakala mentee merupakan individu yang menerima pertolongan. Dalam memberi khidmat menolong, mentor yang berpengalaman dan berpengetahuan bertindak sebagai pembimbing, rakan dan guru kepada mentee yang memerlukan bantuan untuk menambahbaikan lagi dirinya sama ada dalam aspek akademik mahupun peribadi. Matlamat sistem ini dijalankan adalah untuk mewujudkan suasana kekeluargaan, kasih sayang antara guru dengan pelajar, menggerakkan pelajar supaya aktif dalam segenap aspek sama ada dalam akademik, kokurikulum, kreativiti dan sahsiah pelajar serta mengawal disiplin pelajar secara tidak langsung.

Ciri-Ciri Bimbingan

 1.   Bimbingan merupakan aktiviti yang dirancang. Ia bukanlah kegiatan yang dilakukan secara kebetulan, secara tiba-tiba, tidak sengaja dan sambil lewa.

2.  Bimbingan merupakan proses membantu individu atau kumpulan serta tidak memaksa.

3. Bimbingan yang diberikan ialah kepada individu yang memerlukan bantuan untuk memecahkan permasalahan yang dihadapinya.
 

Ciri-ciri Penasihatan

  • Berfokus kepada permasalahan yang dihadapi daripada menumpukan kepada diri individu yang bermasalah. 

  • Berbentuk arahan atau suruhan daripada seorang yang dianggap lebih berautoriti kepada seorang lain. Orang yang berautoriti ini adalah lebih berpengalaman, banyak pengetahuan, mempunyai kelayakan dan pengiktirafan.  

  • Memberi nasihat adalah strategi yang paling cepat untuk mengatasi permasalahan jika nasihat itu memberi kesan yang positif.

Proses Bimbingan dan Penasihatan

Fasa 1 : Kesedaran guru sebagai pembimbing dan penasihat pelajar.

Dalam fasa ini, pihak pengurusan sekolah terlebih dahulu perlu menerima konsep ini. Penekanan haruslah diberikan kepada guru yang mengajar pelajar kerana mereka lebih rapat dan arif mengenai pelajar-pelajar mereka berbanding guru yang tidak mengajar. Mereka perlu disedarkan tentang kepentingan perkhidmatan bimbingan dan penasihatan sebagai pengelola dan sumber rujukan pelajar. 

Fasa 2 : Menguasai kemahiran-kemahiran asas bimbingan dan penasihatan.

Pada tahap ini, semua guru dibantu dan diterapkan dengan beberapa kemahiran asas bimbingan dan penasihatan melalui kursus, seminar dan bengkel khas. Penguasaan kemahiran-kemahiran ini boleh dijalankan secara berperingkat dan merupakan asas menjadi guru pembimbing yang berkesan.

Fasa 3 : Proses mengenali pelajar.

Pada tahap ini, guru-guru dapat mengaplikasi kemahiran-kemahiran asas kaunseling dan boleh mengenal pasti pelajar-pelajar yang memerlukan bimbingan dan  penasihatan. Antara teknik atau kaedah yang boleh digunakan oleh guru untuk tujuan mengumpul maklumat tentang pelajar yang menerima perkhidmatan bimbingan ini ialah teknik ujian, temubual, soal selidik, teknik sosiometrik, teknik skala pemeringkatan, teknik autobiografi dan rekod kesihatan. 

Fasa 4 : Proses membimbing pelajar.

Pelajar akan dibimbing melalui tiga cara iaitu menjalankan bimbingan secara individu, bimbingan secara kelompok dan juga konsultansi yang melibatkan ibu bapa. Oleh kerana pelajar memerlukan perhatian yang khusus, guru pembimbing lebih dapat mendekati pelajar melalui bimbingan secara individu kerana pelajar merasakan dapat diberi perhatian sepenuhnya oleh guru. Manakala bimbingan kelompok melibatkan pelajar-pelajar yang mempunyai masalah yang sama seperti program yang berbentuk motivasi, kemahiran pelajar, dan personal.

Fasa 5 : Analisis penilaian.

Fasa ini melihat keberkesanaan perhubungan bimbingan dan penasihatan itu sama ada berkesan atau tidak berkesan. Hasil analisis ke atas pelajar dibahagikan kepada dua kategori iaitu berjaya dibimbing atau tidak berjaya dibimbing. Keputusan dari fasa ini akan dijalankan ke dalam fasa berikutnya jika perlu.

Rumusan

Secara keseluruhannya bimbingan, penasihatan dan mentoring merupakan kaedah-kaedah yang boleh dan sesuai digunakan untuk membantu pelajar-pelajar dalam aspek-aspek pembelajaran dalam kehidupan. Ketiga-tiga kaedah ini dikenalpasti sebagai satu strategi untuk membangunkan diri pelajar secara menyeluruh dan antara tujuan utama adalah untuk meningkatkan pencapaian akademik pelajar serta memotivasikan pelajar. Langkah yang berbeza ini bertepatan kerana setiap individu mempunyai masalah konflik dan matlamat yang tersendiri. Cara pendekatan yang berbeza ke atas setiap murid harus diwujudkan dan dikekalkan oleh semua guru di setiap sekolah supaya pelajar-pelajar yang bermasalah sedar dan tahu bahawa wujudnya pihak lain yang masih mengambil berat tentang diri mereka walaupun mereka ada melakukan kesilapan tidak kiralah samada kesalahan besar mahupun kesalahan yang kecil.

Rujukan

Azurah Razak. (2013). Pengurusan Penasihatan Murid. Diperoleh daripada            https://www.slideshare.net/AzurahRazak/pengurusan-penasihatan-murid-18242709

Muhamad Mansur Abdullah, & Siti Nordiana Mohd Tamin. (2010). Pengantar     Kaunseling (Edisi Kedua.). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sapora Sipon, & Wan Anor Wan Sulaiman. (2002). Pengantar Kaunseling. Petaling Jaya: Prentice Hall.

Puteri Hayati Megat Ahmad. (2017). Kemahiran dan pengurusan kes-kes kaunseling. Kota Kinabalu:    Penerbit Universiti Malaysia Sabah.

http://amiraarima97.blogspot.com/2018/12/bab-10-pengurusan-penasihatan-murid.html

Search
Check back soon
Once posts are published, you’ll see them here.
bottom of page